GAMIS sertai HIMPUN?

Gerakan mahasiswa Islam mewajahkan diri mereka di medan politik secara agresifnya pada era 80-an sejak berlakunya revolusi di Iran. Kejatuhan Shah Iran adalah berpunca dari gerakan rakyat yang banyak dibantu oleh kelompok mahasiswa disana. Maka Malaysia juga turut terkena tempias yang sama. Pada suasa itu GAMIS muncul di pentas nasional dalam membawa agenda dakwah dan siasah kepada masyarakat kampus khususnya.

Teras kepada gerakan GAMIS adalah bertunjangkan prinsip islah dan dakwah, mengembalikan masyarakat kepada amal syariat Islam secara menyeluruh. Persoalan utama dalam perihal agama ialah Aqidah. Aqidah merupakan tunjang kekuatan orang Islam, sejarah kemenangan Islam sejak dari zaman Nabi dan Sabahat bermula dari penjernihan Aqidah yang salim. Maka GAMIS tidak lari dari memperjuang dan mempertahankan aqidah.

Zaman agresif yang menjadi tumpuan GAMIS dalam membawa isu aqidah ialah pada era akhir 90-an dibawah presidennya, Ust Dr Zaharuddin Abd Rahman yang kini merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Serangan kristianisasi di kampus menjadi tajuk utama perjuangan dalam perjuangan GAMIS setelah berlakunya kes seorang mahasiswa UPM yang dimurtadkan di sebuah gereja dalam kawasan Brickfield.

Konsep yang dibawa dalam pendekatan GAMIS ialah menerang, bukan menyerang. Maka pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan masyarakat khususnya mahasiswa menadalami kefahaman Islam yang utuh bagi mendepani cabaran penyelewengan aqidah. Kebertanggungjawaban kepada soal aqidah adalah kontrak asas kepada penubuhan GAMIS itu sendiri. Maka apa pula pendirian GAMIS tentang HIMPUN?

GAMIS secara lantangnya menyebutkan bahawa kita akan pertahankan aqidah umat Islam pada bila-bila masa sekalipun. HIMPUN yang digerakkan oleh NGO Islam mempunyai niat yang murni bagi membawa solidariti kepada kesatuan umat Islam dibawah payung aqidah yang satu. Kebejatan gejala murtad berlaku bilamana tidak ada kesatuan diantara umat Islam dalam berhadapan isu murtad oleh kerana perbezaan ideologi yang difahami. Maka niat baik HIMPUN yang dipimpin Cikgu Azmi amat baik dan murni. Maka atas niat murni ini GAMIS menyokong HIMPUN.

Adapun mutakhir ini banyak polemik baru yang timbul apabila parti politik mengumumkan untuk tidak sertai HIMPUN merupakan suatu yang normal dan tindakan yang betul. Apa yang dilakukan oleh parti politik dilihat dari kacamata sebuah parti yang pastinya memikirkan persoalan kepentingan. GAMIS sebagai sebuah NGO harus bebas dan tidak terikat dengan mana-mana keputusan parti kerana asas kepada gerakan GAMIS ialah dakwah, dimana ada ruang, disitu kami ada.

GAMIS melihat perhimpunan orang Islam pada 22 Oktober nanti merupakan suatu program ‘caramah kefahaman’ kerana bakal diisi oleh pemidato yang pelbagai termasuk juga Dato’ Mufti Negeri Perak. GAMIS juga akan diberikan ruang untuk mewakili mahasiswa dalam menyampaikan ucapan tersebut, maka ini ruang dakwah yang besar untuk kita ambil bagi memberikan kefahaman kepada hadirin. Maka pada HIMPUN ini sebenarnya adalah program memberikan kefahaman kepada rakyat tentang bagaimana untuk kita pertahankan aqidah dengan ilmu, bukan menyerang agama lain dengan melulu. GAMIS tidak bersetuju jika HIMPUN membenarkan ahli politik bercakap dipentas berkenaan, kerana kita nak pastikan tiada kepentingan politik yang dibawa dalam perhimpunan itu.

Timbul juga persoalan bahawa HIMPUN ini mempunyai agenda yang tersendiri dan dinanungi oleh parti tertentu dalam Negara, namun ia masih belum dibuktikan secara sahnya. GAMIS berpandangan bahawa yang menghadiri HIMPUN ini bukan atas dasar menyokong siapa penggeraknya, tapi apa yang diperjuangkan. Sama juga contoh pada isu BERSIH 2.0, mereka yang hadir bukan menyokong individu bernama Dato’ Ambiga, tapi perkara yang diperjuangkan oleh BERSIH 2.0 yang menjadi tujuan utama. Antara lain bagi peminat bola sepak, penyokong The Red Warriors hadir ke majlis dan program rasmi yang dianjurkan oleh KAFA bukan kerana menyokong politik yang dibawa oleh Tan Sri Anuar Musa, tetapi menyokong pasukan bola sepak tersebut.

Kita kena fahami HIMPUN bukanlah matlamat kepada perjuangan mempertahankan aqidah, ia merupakan suatu alat dari pelbagai kaedah yang ada. Maka GAMIS juga turut menganjurkan kuliah berkaitan murtad, seminar aqidah dalam program Karnival Anak Muda 2011 pada hari sabtu dan ahad ini. Ini juga merupakan usaha penting dalam memberikan kefahaman sosial tentang keutamaan pertahan dan sebarkan aqidah kepada semua masyarakat.

Secara umumnya GAMIS membuka seluasnya ruang berfikir atas penilaian yang rasional kepada mahasiswa untuk membuat penetuan sikap. Kita menghormati kepada yang hadir, dan tidak mengeji yang sebaliknya. Persoalan pendekatan dalam dakwah ini tidak usah diperbesarkan, namun soal kesungguhan dan usaha perlu dipertanggungjawabkan kepada aqidah umat Islam. Jika banyak bermain dengan prasangka, maka hilanglah usaha. Bersatu atas kekuatan aqidah, kita selamatkan ummah.

Ahmad Syazwan b Muhammad Hasan

Presiden GAMIS

Posted in Siasah | 2 Comments

Karnival Ilmu Anak Muda ’11… JOM!!

Posted in kampus | 1 Comment

Jabatan Agama Islam perlu fokus isu Aqidah, bukan tauliah

Kedangaran suara yang tidak berpuas hati kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas tindakan terbarunya menahan Saudara Bob Lokman atas kesalahan memberi kuliah tanpa tauliah yang bercanggah dengan  Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Rungutan ramai ini perlu diambil perhatian kerana peristiwa ini sudah kali berikutnya setelah penahanan yang dibuat terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin pada tahun 2009 lalu. Jabatan agama ini seolah tidak mempunyai tugas yang lebih penting daripada menghalang untuk pendakwah menyampaikan kuliah dan nasihat agama kepada masyarakat.

Kita berasa pelik dan hairan kenapa persoalan tauliah menjadi subjek utama dalam penahanan, bukannya isi penyampaian penceramah berkenaan. Perkara ini berlainan terjadi kepada banyak kumpulan ajaran yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng oleh Majlis agama sebelum pada ini. Antara contohnya ialah Tarekat Naksabandiyah Kadirun Yahya yang telah difatwakan sesat namun masih berleluasa sehingga hari ini di negeri Selangor.

Saya pernah meninjau kawasan ajaran sesat ini dan mendapati pengamalan dan dan ajaran ini masih berleluasa dan tidak ada sebarang penahanan yang dibuat oleh jabatan agama. Kumpulan ini juga tidak mewajibkan solat jumaat dan pelbagai lagi aturan yang menyalahi syariat Islam secara nyata. “ Kita akan panggil mereka yang kita disyaki ini dan kita berdialog mengenai ajaran yang mereka bawa” begitulah kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Pengarah JAIS yang lalu menunjukkan bahawa ada toleransi dan komunikasi yang baik dengan kumpulan yang telah disahkan sesat, namun pendakwah bebas pula terus ditangkap hanya disebabkan tauliah.

Maka pihak GAMIS menyeru agar fokus dan keutamaan jabatan agama mesti terarah kepada usaha menyelamatkan aqidah ummat Islam berbanding dengan persoalan tauliah yang tidak ada syarat wajib dalam Islam untuk menyampaikan kebenaran Islam selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat.

Ahmad Syazwan Muhammad Hasan

Presiden GAMIS

Posted in Salam Islamisasi | Leave a comment

BAJET 2012 : ‘hadiah’ mahasiswa?

Bajet 2011 dengan jumlah  RM232.8 bilion diumumkan oleh Memanda Perdana Menteri dengan gembira sekali. Sungguhnya rakyat memang menunggu pengumuman ini seolah sama dengan pengisytiharan pembahagian harta pusaka, masing-masing akan tanya berapa bahagian yang kamu dapat. Defesit kali yang ke-15 merupakan suatu keadaan yang kurang sihat kepada ekonomi sedangkan perlunya komitmen kerajaan untuk mengurangkan hutang Negara yang makin meningkat saban tahun.

Pendapatan Negara sebahagiannya disumbangkan oleh pelaburan asing FDI yang mencatat sejumlah RM 21.2 billion bagi enam bulan pertama tahun ini. Perlu diingatkan juga bahawa FDI ini disumbangkan oleh negeri Selangor dan Pulau Pinang lebih dari 70% daripada keseluruhannya. Hal ini bermaksud penumpuan pembangunan negeri lain seperti Kelantan, Kedah, Terengganu, Sabah dan Serawak akan terus terpinggir jika tidak ada inisiatif yang serius bagi membantu negeri berkenaan.

Sebagai mahasiswa yang memahami konsep bernegara, maka kita menerima bajet yang dibentangkan secara rasional. Masa yang ada sekarang ialah proses membahaskan bajet yang diumumkan hinggalah ia diluluskan oleh suara majoriti ahli dewan rakyat kelak.

Mesra Rakyat @ Pengundi?

Belanja dalam setiap bajet dibahagikan kepada dua iaitu Perbelanjaan Operasi (RM181.6 bilion) dan Perbelanjaan Pembangunan (RM51.2 bilion). Belanja operasi hanya bersifat ‘one-off consumption’ dan tidak mempunyai kesan secara lansung pada masa hadapan dan inilah dilihat sebagai modal politik yang dijangkan digunakan untuk PRU-13 akan datang.

Perbelanjaan operasi juga melibatkan emolumen kakitangan awam yang diumumkan bakal menerima kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320. Kenaikan ini mungkin mengembirakan para penjawat awam buat sementara waktu, sedang dihadapan nanti mereka bakal berlawan dengan inflasi yang bakal memiskinkan mereka semula. Jika ingin mencari penyelesaian, perlu dilihat pada pendapatan boleh guna rakyat.

Walau jumlah pendapatan yang tinggi, namun disana mereka masih dibebankan dengan hutang, maka kenaikan gaji hanyalah gula-gula yang boleh menghentikan seorang kanak-kanak dari terus menangis buat seketika. Kita berhadapan dengan masalah hutang isi rumah yang menakutkan hingga seramai 64 orang setiap hari diisytihar muflis di Malaysia.

Kenaikan gaji dan bonus setengah bulan kepada penjawat awam tidak akan menyelesaikan masalah akar yang dihadapi oleh rakyat khususnya dalam berhadapan dengan kenaikan harga barang. Perkara pokok yang mesti diselesaikan ialah berkaitan dengan soal kawalan harga barangan dan dasar persaingan harga yang boleh menghalang monopoli dan menekan rakyat bawahan. Apa yang dibuat ini hanyalah seolah memotong lalang ditepi rumah yang hanya boleh mencantikkan pemandangan buat seketika, sedang lalang itu pasti akan tumbuh kembali jika tidak dicabut akarnya.

Mesra Mahasiswa

Seramai 1juta mahasiswa di Malaysia menunggu dengan penuh harapan akan hadiah yang akan diberikan pada bajet pada kali ini. Akhirnya diumumkan baucer RM200 untuk membeli buku kepada semua mahasiswa IPT, Matrikulasi dan Tingkatan 6. Kita boleh ucapkan terima kasih atas duit raya ini, namum sekali lagi ianya bukan dan tidak menyelesaikan masalah utama mahasiswa.

Dengan duit RM200 hanya boleh digunakan untuk membeli tidak lebih dari 5 buah buku akademik, sedangkan masalah yang lebih besar dihadapi mahasiswa ialah kenaikan yuran pengajian yang mendadak. Setiap tahun akan berlaku kenaikan yuran akibat universiti tidak mampu menanggung kos pengurusan yang makin tinggi apatah lagi sebuah universiti yang berstatus universiti penyelidikan yang memerlukan sejumlah RM200juta setiap tahun bagi tujuan berkenaan. Maka mahasiswa juga yang menjadi mangsa.

Sepatutnya kerajaan harus mencari mekanisma untuk mengurangkan yuran berkenaan disamping boleh memberikan pinjaman pengajian yang lebih fleksibel dengan kos sara hidup mahasiswa dan lokasi pengajian. Cadangan supaya pinjaman PTPTN diberikan mengikut zon dan wilayah perlu dikaji kerana ialah dapat menyelesaikan masalah lokaliti sara hidup mahasiswa.

Pengumumam yang turut mengembirakan kakitangan awam juga ialah umur persaraan wajib diubah dari 58 tahun kepada 60 tahun. Sekali lagi berita ini menyedihkan mahasiswa. Peluang pekerjaan yang semakin terhimpit dan sukar, disana pula dilanjutkan lagi penjawatan awam yang akan menyebabkan pengangguran graduan bakal bertambah. Jika ada 20000 penjawat awam yang perlu bersara pada tahun ini dan dilanjutkan lagi untuk dua tahun, maka lebih 40000 graduan yang bakal terlepas peluang kerja berkenaan. Pengangguran makin meningkat, masalah sosial juga turut bertambah.

( mungkin suasana ini akan berlaku dipejabat awam nanti….🙂 )

Perkara yang perlu dipertikaikan juga ialah bagaimana soal kecakapan mengurus kerajaan khususnya dalam sektor awam. Melihat kepada jumlah peningkatan kakitangan awam di Negara ini menunjukkan bahawa ketidakcekapan semakin terserlah berbanding dengan Negara membangun yang lain. Setiap 10 orang rakyat Malaysia yang bekerja, seorang daripadanya ialah penjawat awam. Ketidakcekapan ini akan menyebabkan wang Negara dibelanjakan pada sektor yang tidak produktif.

Maklumat diatas adalah peratusan kakitangan awam dengan guna tenaga yang ada dalam negara. Lihat data yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara yang jelas sekali cara Malaysia mengurangkan kadar pengangguran dengan mencipta peluang kerja yang sudah ada kakitangan awam yang boleh melaksanakan tugas yang sama. Persoalan ini adalah berkaitan duit rakyat dibazirkan pada sektor yang tidak mengembangkan kek ekonomi Negara.

Pada tahun 2000 jumlah kakitangan awam adalah 894 788 orang dan bertambah kepada 1.2juta masakini. Hal ini agak mengejutkan kerana pertambahan ini akan menunjukkan ketidakberkesanan kerajaan dalam menyelesaikan masalah pekerjaan rakyat. Sepatutnya kemajuan dan kepesatan teknologi dapat mengurangkan penjawat awam supaya produktiviti meningkat, tetapi sebaliknya berlaku di Malaysia.

Peruntukan ada perlu disalurkan untuk membuka peluang kepada graduan dan mahasiswa mencipta ruang dalam bidang perniagaan dan galakan keusahawanan.

Secara ringkasnya bajet 2012 tidak mesra mahasiswa kerana tidak ada penumpuan khusus untuk menyelesaikan masalah akar yang dihadapi mahasiswa umumnya. Perkara berkenaan belum lagi diambil kira soal kebajikan mahasiswa diluar Negara yang terpaksa berkelana dan mencari sumber rezeki sendiri bagi menampung perbelanjaan pengajian mereka. Perlu diingat bahawa mahasiswa yang belajar diluar Negara bukannya datang dari keluarga menteri dan kerabat, tetapi kebanyakannya adalah rakyat biasa dan sangat memerlukan bantuan dan ihsan dari sebuah kerajaan.

 sekadar pandangan :

Ahmad Syazwan Muhammad Hasan

Fakulti Ekonomi Pentadbiran UM

Presiden GAMIS

Posted in kampus | 6 Comments

Syabab Group

Bersahabat kerana Allah membawa ke Jannah.

Sudah 8 tahun Syabab Group ditubuhkan. Permulaannya dari usrah bawah pokok tanjung tepi padang maahad, hinggalah kelapangan kampus pada hari ini. Mahal harga ukhwah yang dibina atas tali aqidah melalui jalan dakwah ini. Moga Allah thabatkan kami dalam jalan juangnya. Hidup berusrah adalah amalan sunnah, ukhwah Islam pasti timbul disana.

Latihan usrah boleh lahirkan ramai sahabat sebagaimana Sa’ad bin Rabi’. Berkata beliau kepada sahabat muhajir yang dipersaudarakan oleh Rasulullah, iaitu Abdul Rahman bin Auf :

“ saya adalah orang yang paling kaya dikalangan Ansar, marilah kita bahagikan dua harta itu. Saya mempunyai dua orang isteri, awak pilihlah seorang darinya yang disukai supaya saya boleh menceraikannya, apabila selesai iddahnya, berkahwinlah dengan dia ”

Inilah nilai ukhwah dalam Islam. Harta, wanita dan tahta hanyalah milik perjuangan hasil tarbiyah harakah.

Bak kata seorang sahabat baik saya :

“ nilai ukhwah hanya boleh dirasai oleh mereka yang terlibat dengan jemaah(usrah) sahaja, diluar daripada itu hanyalah watak pelakon yang mampu menukar kamu dari kawan menjadi lawan ”

Moga kita bertemu dan berpisah hanya keranaNYA.. ” ana uhibbukum fillah “

Gambar jaulah hiraki syabab akhir Ramadhan dan awal Syawal :

tajuk Murabbitun, kupasan dari Ustaz Hj Nasruddin Hasan Tantawi

amanah dan kata hikmah yang mahal dari Murabbi, TGHA

nasihat dan pencerahan dari Ust Nik Abduh Nik Abd Aziz

menyoroti liku sejarah gerakan Islam dan kemerdekaan bersama Ust Riduan Moh Nor

kalam sufi yang menjadi ibrah kepada Abg Bob Lokman menjadi bualan penutup jaulah kali ini

Posted in Dairi | Leave a comment

Mat Indera Selamatkan SPR?

KUALA LUMPUR, 6 Sept:Kehangatan dan pasca Bersih 2.0 yang menjadi agenda perbualan rakyat semakin tenggelam dek isu sejarah yang diputar belit oleh media.

Justeru, Presiden  Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan (gambar) berkata, dalam kehangatan masyarakat berbincang soal siapa pejuang dan petualang negara, maka pelbagai natijah dan kesan yang timbul.

Katanya, secara umumnya ia dilihat positif kerana telah membuka ruang dan minda masyarakat untuk membelek semula sejarah perjuangan kemerdekaan negara.

Menurutnya, namun hakikat yang lebih besar ialah, sejarah sudah tidak boleh diubah dan sejarah tidak pernah menipu manusia.

Tambahnya, penipu dan penyeleweng hanya datang dari mereka yang berkepentingan bagi mendapatkan sokongan moral dan simpati politik tertentu,” katanya.

Beliau berkata, media cetak dan elektronik digunakan semaksimanya bagi mempertahankan sejarah yang dilukis oleh pihak pemerintah, walaupun pelbagai keraguan yang timbul di dalamnya.

“Perkara pokok di sebalik isu ini ialah masyarakat beralih arah untuk berbincang pasal masa belakang, tidak lagi masa depan.

“Masa depan yang dimaksudkan ialah kehangatan dan pasca himpunan Bersih 2.0 yang menjadi agenda perbualan rakyat baru-baru ini semakin tenggelam dek kerana isu sejarah yang diputar belit oleh media,” ujarnya.

Ujar beliau, persoalan masa depan negara bergantung kepada ketelusan dan keadilan sistem demokrasi yang dilakukan.

Katanya lagi, banyak kepincangan dan kelompangan sistem yang didedahkan oleh pelbagai pihak yang masih belum dijawab dengan baik oleh pihak yang bertanggungjawab.

Beliau menambah, peri pentingnya soal demokrasi adalah suatu kayu ukur bagaimana corak dan budaya pemerintah yang akan dipilih oleh rakyat sama ada meneruskan legasi yang penuh kepincangan atau berubah kepada arena politik baru.

Jelasnya, masa depan negara ditentukan atas perjalanan pilihan raya yang bersih dan adil.

“Mungkin pada waktu ini pihak SPR boleh menarik nafas panjang dan lega di dalam kekalutan orang beralih dan berbincang isu sejarah, bukan lagi soal pilihan raya,” katanya.

Maka, ujarnya perlu diberikan perhatian juga kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang diwakili oleh parti pemerintah, pembangkang dan bebas.

“Sejauh mana keberkesanan dan kemampuan jawatankuasa ini membuat transformasi terhadap pilihan raya di Malaysia ini juga perlu dinilai bukan bukan hanya menjadi modal politik untuk menunjukkan keseriusan kerajaan dalam soal penambahbaikan sistem pilihan raya,” ujarnya.

Beliau berkata, daftar pemilih, kempen, kebebasan media dan pelbagai lagi isu berkaitan pilihan raya dan masa depan negara perlu diberikan perhatian semula.

“Dibimbangi jika kita tercampak dengan lubang yang dibuat untuk menimbus lompang yang lain, maka sampai bilapun kita akan tertipu dengan permainan licik politikus yang berkuasa,” katanya.

Justeru, tambah beliau mahasiswa bimbang terhadap masa depan negara akan ditentukan oleh warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Thailand jika senarai daftar pemilih tidak dibersihkan.

Katanya, berbincang soal sejarah perlu untuk dijadikan sempadan, berjuang untuk masa depan juga penting untuk kelangsungan.

sumber :http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5244-lupa-praya-bersih-dek-putar-belit-isu-sejarah

Posted in Siasah | 1 Comment

Dialog Menteri : ” Langgar saja! “

20 Ogos 2011 yang lepas saya dijemput untuk menjadi panel dalam sesi Dialog Mahasiswa Bersama Menteri. Dialog ini diadakan antara mahasiswa dengan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Tajuk asal dialog ini ialah : Peranan Mahasiswa Dalam Memperbaiki Demokrasi Negara.

Pada mulanya saya fikir ini boleh menjadi suatu wacana ilmiah dan ingin melihat betapa kritikalnya pemikiran seorang menteri, saya juga agak bimbang untuk tampil ke pentas berkenaan jika tiada persediaan. Saya dimaklumkan oleh penganjur bawah panel boleh mengajukan apa juga persoalan untuk dijawab meneri, ini suatu berita baik!

Saudara Firwan ( Bekas YDP MPP UIA ) turut menjadi panel dalam dialog berkenaan. Saya mengenakan baju KUNING sebagai mesej untuk BERSIHkan demokrasi Negara. (^-^),


Majlis dialog bermula lewat apabila ucapan awal Dato’ Ahmad Maslan terlalu lama walaupun sudah 3 kali diberi amaran oleh pengerusi majlis. Permulaan ucapan terus menyebut tentang cincin Rosmah Mansor yang bernilai 24juta, dia kata itu hanya fitnah. Beliau juga bercerita pasal politik UMNO dan melayu, namun bila sahaja YB Kamalanathan ( MP Hulu Selangor ) masuk ke dewan, dia terus tukar tajuk kepada keadilan kaum dalam BN.( ucapan yang sangat paranoid dan memualkan mahsiswa kerana ini bukan majlis penerangan isu parti UMNO )

Namun tak apa, masih ada 45 minit untuk sesi soal jawab!

Berikut adalah antara ringkasan beberapa soal jawab antara Dato’ Ahmad Maslan dengan saya dan Firwan dalam dialog berkenaan.!

Saya :
“  Tajuk dialog ini mengambarkan ada kepincangan dan kelompangan dalam sistem demokrasi Negara. Dimana kepincangannya? Bagaimana sebenarnya sistem demokrasi di negara kita berfungsi? Mengapa setelah pelbagai dasar dan agenda dilakukan sejak merdeka hingga sekarang, kaum Melayu masih terkebelakang di segi ekonomi. Bagaimana pemimpin mahu menjelaskan proses demokrasi kepada mahasiswa, remaja dan pelajar sekolah? Mengapa pelajar universiti tak dibenarkan berkempen dalam pilihanraya ? ”

Dato’ Ahmad Maslan:

 “Saya tak takut dengan sesiapa. Saya hanya takut dengan Allah. Saya langsung tak gementar kerana saya tahu perjuangan kami adalah perjuangan yang benar. Sebab itu di Dewan Rakyat saya minta naikkan soalan saya supaya dapat berdepan dengan Anwar Ibrahim.

“Tahun ini soalan saya naik ke nombor 2 saya dapat berdepan dengan Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat sebab saya tak takut berdepan dengan manusia. Saya hanya takut Allah.

“Mengapa kita tak kuasai ekonomi? Ketika dijajah Inggeris, kalau orang Melayu dan India awal-awal lagi ditempatkan di bandar, kita pasti tak ada pilihan lain, kecuali berniaga sebab kita tak boleh bercucuk tanam di atas jalanraya.

“Tetapi mereka diletak di kampung, nak jadi apa? Mereka jadi penoreh getah, macam mak ayah saya. Mereka jadi peneroka dan nelayan. Itu kesilapan pertama dalam proses demokrasi.

“Kemudian negara ditadbir urus oleh kerajaan mengikut sistem demokrasi berparlimen, demokrasi terpimpin. Semua orang demokratik di negara kita boleh menjadi calon dalam pilihanraya. Siapa saja boleh jadi calon berdasarkan akta-akta yang ada.”

Muhammad Firwan :
“Tahun lalu beberapa mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dikenakan tindakan di bawah AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) kerana didakwa berkempen pada pilihanraya kecil (PRK) Hulu Selangor.

“PRU 2008 berat sebelah sehingga membuatkan orang tidak mahu mengundi pihak tertentu kerana meluat. Mengapa pihak pembangkang susah dapat permit dibandingkan kerajaan. Apakah peranan mahasiswa dalam membantu memperbaiki demokrasi dalam negara kita.”

Dato’ Ahmad Maslan:

“Malaysia adalah satu-satunya negara yang membenarkan berkempen 365 hari 7 kali seminggu 24 jam sehari. Asalkan ada permit, boleh buat ceramah. Pembangkang juga boleh kata apa sahaja dalam internet. Boleh keluarkan suratkhabar tiap-tiap hari. Kenapa kerajaan negeri Selangor tak keluarkan suratkhabar hari-hari dan bagi kepada rakyat Selangor? Kalau mereka nak buat, silakan.”

Firwan :
“Mengikut AUKU pelajar tak boleh jadi calon atau berkempen.”

Dato’ Ahmad Maslan:
“Akta itu ciptaan manusia. Kenapa kamu mesti takut dengan ciptaan manusia? Langgar ajalah. Jangan takut pada manusia. Terus langgar sajalah. “

Firwan :
Pada PRU 2008 di Kepala Batas mahasiswa cuba menjadi calon menentang Tun Abdullah Badawi tetapi digagalkan oleh SPR.”

Ahmad Maslan:

“ Pada saya kalau rasa nak bertanding, langgar aja. Kemudian kalau dibuang dari universiti, pergilah belajar di universiti luar negara. “ <– dia bagi green light ka neh? kah3x

Saya :
“Tujuan kami adakan dialog dengan pemimpin bukan untuk menakutkan sesiapa. Kami hanya mahu dua perkara. Pertama, suara kami didengari dan kedua, mahasiswa mahu peranan kami diiktiraf. Adakah kerajaan selepas ini bersedia membenarkan mahasiswa bertanding dalam pilihanraya. Untuk menyuburkan demokrasi, Adakah Datuk bersedia berdialog dengan Mazlan Aliman?.”

Ahmad Maslan:

“Saya dah berjanji untuk berdialog dengan Mazlan Aliman dan bila masanya, terpulang pada dia. Tetapi untuk berdebat, saya rasa dia tak layak. <– kah3x

“Kalau saudara nak terus adakan dialog dan dapat pandangan orang-orang tertentu, silakan. Yang saya khuatir ialah demonstrasi kerana bila berlaku demonstrasi boleh berlaku orang bakar bangunan dan ketawa selepas membakar bangunan itu. Bila berlaku demonstrasi jalananan dan melihat orang cedera, daripada nak tolong orang cedera, dirompaknya pula. <– ini Ugut ka apa ? Dia ingat kita neh kaki bakar bangunan ka?

“Saya tidak khuatir dengan pandangan berbeza. Saya berdebat sejak sekolah menengah. Pada 1983 saya masuk final debat. Pendebat pertama dari Kolej Islam Kelang ialah Idris Ahmad. 27 tahun selepas itu beliau menjadi ketua penerangan PAS dan saya jadi ketua penerangan umno. Perdebatan tak jadi hal bagi saya.

Firwan :
“Semasa PRK Hulu Selangor, ada mahasiswa kena tangkap di bawah AUKU. Mereka ditangkap dengan alasan pelajar universiti tak boleh masuk politik.”

Ahmad Maslan:

“Kalau anda semua nak masuk politik, silakan. Apa nak ditakutkan AUKU. Ia adalah akta-akta di atas kertas. Yang korang takut sangat, kenapa? Masuk ajalah dalam politik. Itu jawapan saya.

Saya:
“Kita tak takut, tetapi kita fikirkan mak ayah yang susah payah cari duit nak hantar kita belajar.”

Ahmad Maslan:

“Masuklah IPTS atau university luar negara dan kemudian bekerja. Saya buat MBA tak ada siapa sponsor pun. Saya bekerja sambil belajar dan jadi pelajar terbaik UKM dan dapat 3.85 CGPA. Saya dapat anugerah emas pelajar. Masa itu pelbagai jawatan politik saya ada.”

Saya :
“Dato’, masalahnya mahasiswa yang ada ni bukan semuanya Anak MENTERI, boleh taja anak belajar diluar Negara!.”

Ahmad Maslan:

“Saya dulu bekerja sambil belajar. Saya pernah sembelih biri-biri di New Zealand untuk cari duit lebih. Itu kat luar negara. Apa hal korang manja sangat.”

Firwan :
“Datuk cakap mengenai kebebasan media, kenapa letak syarat? Kenapa pembangkang susah nak dapat permit buat ceramah. Datuk suruh langgar AUKU, tapi di peringkat kerajaan sendiri, apa kah penyelesaiannya? “

Ahmad Maslan:

“Tunjukkan kepada saya permohonan ceramah dari mana-mana parti pembangkang yang tak dapat kebenaran polis? Bagitau pada saya bila dan tempatnya.

“Saya boleh bagitahu Ketua Polis Negara, apahal tak bagi dia orang ceramah? Nak ceramah siang malam, pagi petang, silakan. Yang tak boleh demonstrasi jalanan. Sebab ia merosakkan ketenteraman awam.

“Ceramah pembangkang jauh lebih banyak dari ceramah kerajaan. Kalau parti pembangkang buat 100, parti kerajaan baru buat satu. Saya tahulah sebab saya Ketua Penerangan UMNO Malaysia. Kalau pembangkang tak dapat permit buat ceramah, bagi tahu pada saya. Saya akan telefon Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein supaya bagi permit.

“Kita tak takut dengan ceramah. Kita takut orang yang memanupulasi kebenaran. Perkara yang tak betul diadakan-adakan. Fitnah bermaharajalela. Apalah kau orang takut dengan AUKU. Ia adalah kertas-kertas yang ada tulisan. Langgar ajalah kalau kamu anak jantan.”

Saya :

“Tadi Datuk sarankan kami langgar akta. Tak betulm Ini bukan cara kita. Akta perlu dihormati. Kita sepatutnya perjelaskan akta ini secara betul. Tadi Datuk pun persoal kenapa Kerajaan Negeri Selangor tak terbit akhbar harian. Tahukah Datuk bahawa kita ada akta mesin cetak dan penerbitan? Dalam akta itu, setiap akhbar harian mesti mendapatkan permit daripada menteri.

“ Dalam AUKU, seksyen 15 hanya menyebut mahasiswa tak boleh nyatakan pandangan atau simpati kepada mana-mana parti politik. Tetapi sekiranya orang bertanding atas tiket bebas, bolehkan mahasiswa menyokong mereka? Adakah ia bercanggah dengan AUKU? Bersedia atau tidak kerajaan sekarang hapuskan AUKU? ”

“Jangan salah tafsir atau seleweng maklumat kepada mahasiswa. Saya yakin mahasiswa berfikiran terbuka dalam isu atau pandangan yang disebutkan oleh parti-parti yang berkempen dalam pilihanraya. Tetapi kenapa UMNO guna RTM untuk berkempen kerana ia hak rakyat Malaysia yang membayar cukai . Mengapa mereka tak buka media kepada semua orang, temasuk mahasiswa?”

Ahmad Maslan:
“Kalau saudara tak suka melihat apa yang ada di TV tutup ajalah TV itu. Tengok internet atau Harakahdaily atau Suara Keadilan. Silakan. Saya tak takut melihat internet sebab tak ada siapa yang boleh mengawal. Silakan. Kalau saudara nak layari blog, saya pun tak takut langsung.”

Firwan: (menyindir, tapi sindiran itu nampaknya tak difahami Ahmad Maslan)
“Saya seronok mendengar penjelasan YB yang suruh kita main langgar aja.”

Ahmad Maslan:
“Ya, boleh langgar saja. Kalau kena saman, bayar sajalah.

Firwan :
“Perdana menteri kata PRU ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan tak terikat kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen. Kenapa tak tunggu dulu penubuhan jawatankuasa itu?”

Ahmad Maslan:
“That is the priviledge of incumbency.”

Firwan :
“ Maaf, kami kurang faham. Dato tolong jelaskan ”

Ahmad Maslan:
“ Hai! Belajar Inggeris 13 tahun tak faham lagi? ”

Firwan :
“Di Singapura setiap parti politik diberikan ruang nyatakan manifesto di media, berbanding di Malaysia hanya sebelah pihak. “

Ahmad Maslan:
“Utusan Malaysia suratkhabar UMNO, tak kanlah nak masuk cerita pembangkang. 60% UMNO punya. Kalau saudara tak mahu beli Utusan Malaysia, tak ada hal. Orang lain boleh beli .

Banyak lagi soalan yang ingin ditanya, namun waktu berbuka hanya tinggal 3 minit sahaja lagi. Maka dialog diakhiri dengan banyak soalan yang tergantung. Selesai majlis berkenaan, saya didatangi wartawan media UMNO. Lalu dia mengeluh dengan jawapan menteri berkenaan hingga dia kata ia sangat memalukan. Dia sarankan agar lepas ini mahasiswa jemput wakil UMNO yang lebih cerdik sedikit macam Khairy Jamaluddin dan lain-lain. ( Nasib baik media alternatif tak ada, kalau ada mesti jadi berita pilihan esoknya!)

Lagi menarik, wartawan berkenaan minta untuk saya pertimbangkan untuk menjadi kolumnis web yang mereka kendalikan. ( fikir sorang2, bolehkah tulisan aku keluar dalam media UMNO? Hari ini dalam sejarah! Haha )

Jujurnya saya rasa jawapan dan cara Timbalan Menteri berkenaan sangat memalukan kerajaan. Berhadapan mahasiswa yang dianggap semacam budak sekolah, akhirnya dia sendiri yang mengelabah. Lagi menarik, sehari selepas program berkenaan, dia terus mesej saya. ( dirahsiakan, hehe )

Namun saya menaruh harapan agar dialog sebegini dapat dianjurkan lagi untuk membuka minda mahasiswa dan membawakan idea pandang kepada pihak yang lebih berautoriti. Saya ucapankan tahniah dan terima kasih kepada barisan Ayahnda dan Abang Long daripada PENAWAR. Akhir majlis, ada juga Ayahnda negeri yang datang jumpa dan menyatakan kekeluhan atas jawapan yang diberikan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia semasa dialog tadi.

Ada orang tanya, kenapa tidak disebarkan video penuh. Tapi ada rakan pengajur cerita bahawa ada ugutan dari pihak tertentu untuk tidak disebarkan video berkenaan.

Dialog ini bukan untuk cari siapa menang dan kalah, hanya untuk untuk kita bentang cadangan dan kemuka hujah. Kepanasan Ramadhan turut menghangatkan dialog ini. Ramadhan bulan ilmu.

Artikel ini hasil ubahan dari maklumat asal: http://amenoworld.blogspot.com/2011/08/ahmad-maslan-cabar-langgar-auku-mesti.html#ixzz1Wzpsn5HD

Posted in kampus | 6 Comments