GAMIS sertai HIMPUN?

Gerakan mahasiswa Islam mewajahkan diri mereka di medan politik secara agresifnya pada era 80-an sejak berlakunya revolusi di Iran. Kejatuhan Shah Iran adalah berpunca dari gerakan rakyat yang banyak dibantu oleh kelompok mahasiswa disana. Maka Malaysia juga turut terkena tempias yang sama. Pada suasa itu GAMIS muncul di pentas nasional dalam membawa agenda dakwah dan siasah kepada masyarakat kampus khususnya.

Teras kepada gerakan GAMIS adalah bertunjangkan prinsip islah dan dakwah, mengembalikan masyarakat kepada amal syariat Islam secara menyeluruh. Persoalan utama dalam perihal agama ialah Aqidah. Aqidah merupakan tunjang kekuatan orang Islam, sejarah kemenangan Islam sejak dari zaman Nabi dan Sabahat bermula dari penjernihan Aqidah yang salim. Maka GAMIS tidak lari dari memperjuang dan mempertahankan aqidah.

Zaman agresif yang menjadi tumpuan GAMIS dalam membawa isu aqidah ialah pada era akhir 90-an dibawah presidennya, Ust Dr Zaharuddin Abd Rahman yang kini merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Serangan kristianisasi di kampus menjadi tajuk utama perjuangan dalam perjuangan GAMIS setelah berlakunya kes seorang mahasiswa UPM yang dimurtadkan di sebuah gereja dalam kawasan Brickfield.

Konsep yang dibawa dalam pendekatan GAMIS ialah menerang, bukan menyerang. Maka pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan masyarakat khususnya mahasiswa menadalami kefahaman Islam yang utuh bagi mendepani cabaran penyelewengan aqidah. Kebertanggungjawaban kepada soal aqidah adalah kontrak asas kepada penubuhan GAMIS itu sendiri. Maka apa pula pendirian GAMIS tentang HIMPUN?

GAMIS secara lantangnya menyebutkan bahawa kita akan pertahankan aqidah umat Islam pada bila-bila masa sekalipun. HIMPUN yang digerakkan oleh NGO Islam mempunyai niat yang murni bagi membawa solidariti kepada kesatuan umat Islam dibawah payung aqidah yang satu. Kebejatan gejala murtad berlaku bilamana tidak ada kesatuan diantara umat Islam dalam berhadapan isu murtad oleh kerana perbezaan ideologi yang difahami. Maka niat baik HIMPUN yang dipimpin Cikgu Azmi amat baik dan murni. Maka atas niat murni ini GAMIS menyokong HIMPUN.

Adapun mutakhir ini banyak polemik baru yang timbul apabila parti politik mengumumkan untuk tidak sertai HIMPUN merupakan suatu yang normal dan tindakan yang betul. Apa yang dilakukan oleh parti politik dilihat dari kacamata sebuah parti yang pastinya memikirkan persoalan kepentingan. GAMIS sebagai sebuah NGO harus bebas dan tidak terikat dengan mana-mana keputusan parti kerana asas kepada gerakan GAMIS ialah dakwah, dimana ada ruang, disitu kami ada.

GAMIS melihat perhimpunan orang Islam pada 22 Oktober nanti merupakan suatu program ‘caramah kefahaman’ kerana bakal diisi oleh pemidato yang pelbagai termasuk juga Dato’ Mufti Negeri Perak. GAMIS juga akan diberikan ruang untuk mewakili mahasiswa dalam menyampaikan ucapan tersebut, maka ini ruang dakwah yang besar untuk kita ambil bagi memberikan kefahaman kepada hadirin. Maka pada HIMPUN ini sebenarnya adalah program memberikan kefahaman kepada rakyat tentang bagaimana untuk kita pertahankan aqidah dengan ilmu, bukan menyerang agama lain dengan melulu. GAMIS tidak bersetuju jika HIMPUN membenarkan ahli politik bercakap dipentas berkenaan, kerana kita nak pastikan tiada kepentingan politik yang dibawa dalam perhimpunan itu.

Timbul juga persoalan bahawa HIMPUN ini mempunyai agenda yang tersendiri dan dinanungi oleh parti tertentu dalam Negara, namun ia masih belum dibuktikan secara sahnya. GAMIS berpandangan bahawa yang menghadiri HIMPUN ini bukan atas dasar menyokong siapa penggeraknya, tapi apa yang diperjuangkan. Sama juga contoh pada isu BERSIH 2.0, mereka yang hadir bukan menyokong individu bernama Dato’ Ambiga, tapi perkara yang diperjuangkan oleh BERSIH 2.0 yang menjadi tujuan utama. Antara lain bagi peminat bola sepak, penyokong The Red Warriors hadir ke majlis dan program rasmi yang dianjurkan oleh KAFA bukan kerana menyokong politik yang dibawa oleh Tan Sri Anuar Musa, tetapi menyokong pasukan bola sepak tersebut.

Kita kena fahami HIMPUN bukanlah matlamat kepada perjuangan mempertahankan aqidah, ia merupakan suatu alat dari pelbagai kaedah yang ada. Maka GAMIS juga turut menganjurkan kuliah berkaitan murtad, seminar aqidah dalam program Karnival Anak Muda 2011 pada hari sabtu dan ahad ini. Ini juga merupakan usaha penting dalam memberikan kefahaman sosial tentang keutamaan pertahan dan sebarkan aqidah kepada semua masyarakat.

Secara umumnya GAMIS membuka seluasnya ruang berfikir atas penilaian yang rasional kepada mahasiswa untuk membuat penetuan sikap. Kita menghormati kepada yang hadir, dan tidak mengeji yang sebaliknya. Persoalan pendekatan dalam dakwah ini tidak usah diperbesarkan, namun soal kesungguhan dan usaha perlu dipertanggungjawabkan kepada aqidah umat Islam. Jika banyak bermain dengan prasangka, maka hilanglah usaha. Bersatu atas kekuatan aqidah, kita selamatkan ummah.

Ahmad Syazwan b Muhammad Hasan

Presiden GAMIS

About syazwan

Penulis merupakan mahasiswa tahun ketiga Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya. Terkini merupakan YDP PMIUM. Mantan MT MPMUM 08/09. Juga merupakan bekas pelajar Kolej MARA Kuala Nerang dan Maahad Muhammadi Lelaki.
This entry was posted in Siasah. Bookmark the permalink.

2 Responses to GAMIS sertai HIMPUN?

  1. fareldedek says:

    Saya stuju ngn pandangan anda.. Pandangan yang bernas.. Syabas Anak Muda !!!!

  2. hazwan says:

    sama2 kita terus mnyokonh kebangkitan ini, aqidah selamanya x kan boleh dipisahkan dgn prjuangan..
    (^_^)

Leave a comment